Pages

Sunday, December 19, 2010

UBF TIDAK UBAH SEPERTI HINDRAF?

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah menegaskan bahawa kewujudan sebuah badan NGO yang disebut sebagai ‘United Borneo Front’ (UBF) yang dilancarkan baru baru ini, tidak menggugat objektif yang diperjuangkan parti itu; malah ia tidak mengelirukan rakyat khususnya penyokong dan ahli ahli SAPP di pedalaman kerana mereka telah komited dengan misi dan visi perjuangan SAPP; malah UBF kelihatan seperti Hindraf di Semenanjung Malaysia.

Tegasnya, UBF yang dilancarkan mantan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dua hari lepas, merupakan sebuah badan bukan politik yang dijadikan sebagai landasan bagi kumpulan pendesak kerajaan yang diterajui Datuk Dr Jeffrey termasuk beberapa pemimpin lain di Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pun tegas Jimmy, terpulanglah kepada rakyat untuk memikirkan halatuju yang dimainkan Jeffrey asalkan maksud dan tujuan UBF selari dengan kehendak Perlembagaan Negara terkandung dalam Perkara 10 (11) (a) (b) (c) kerana selagi negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi sesiapa juga berhak bersuara untuk menuntut hak keadilan.

“Dalam meniti abad ke-21 sudah tentu kemajuan minda rakyat dalam membuat sesuatu keputusan sudah pastilah mereka lebih cerdik sesuai dengan peredaran zaman,” kata beliau yang juga Pengerusi CLC Melalap pada Sabtu.

“ Untuk itu.. agak tidak mustahil rakyat mengikuti cara lama dalam membuat keputusan termasuk proses memilih kerajaan yang mereka fikirkan baik dan diyakini rakyat,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemunculan UBF yang merupakan satu badan NGO yang dilancarkan baru-baru ini yang bertujuan menjadikan UBF sebagai landasan bagi pejuang-pejuang yang menuntut hak keadilan dan hak kuasa autonomi bagi rakyat Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara khususnya Artikel 153.

Menurut sumber dalaman UBF, perjuangan UBF mirip perjuangan ‘3rd Force’ di Eropah adalah terbuka kepada mana-mana individu yang tidak berparti atau yang telah berparti sama ada dipihak BN, PKR, SAPP atau lain-lain boleh menyertai dalam proses pembuat keputusan untuk memilih mana-mana parti yang layak disokong untuk menerajui atau membentuk kerajaan pada PRU13 akan datang.

Sementara itu, SAPP Kemabong, Saul Salleh tidak akan terburu-buru untuk terpengaruh dengan penubuhan UBF walaupun ia merupakan suatu anjakan di pihak barisan pembangkang bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU13.

Tegas Saul, beliau tetap komited dan yakin dengan halatuju perjuangan SAPP yang berkonsepkan sebuah parti tempatan untuk memperjuangan tuntutan hak asasi rakyat negeri ini termasuk menuntut kuasa autonomi dan pengagehan kekayaan sumber asli dan galian (gas dan minyak) secara adil dan saksama
.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails