Pages

Sunday, December 19, 2010

Kepincangan Pemilihan PKR terus didedah?


Kepincangan dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berakhir baru-baru ini terus didedahkan satu-persatu oleh calon Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amizudin Ahmat dalam blog sharpshooter.blogspot.

Beliau mendakwa tiada laporan keputusan terperinci bagi cabang-cabang Negeri Sarawak di laman web rasmi PKR seperti mana keputusan cabang-cabang lain.

Pengendali blog tersebut turut mempertikaikan apabila keputusan pemilihan di cabang-cabang lain seluruh negara yang dipaparkan di laman web yang sama sebelum ini secara tiba-tiba hilang sehari selepas beliau mendedahkan beberapa keputusan yang meragukan.

Malah katanya, ketika Kongres berlangsung, Pengerusi Tetap AMK hanya mengumumkan Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai pemenang tanpa mengumumkan berapa jumlah undi yang diterima oleh Shamsul dan lawannya Badrul Hisham Shaharin.

Berdasarkan rekod, belum pernah terjadi dalam mana-mana pertubuhan politik, NGO mahupun SPR sendiri yang mengumumkan keputusan rasmi pemilihan tanpa menyatakan jumlah undi yang diterima oleh calon-calon.

Analisa yang dibuat oleh pengendali blog itu turut melaporkan calon Ketua AMK, Badrul Hisham telah berjaya menewaskan pencabarnya, Shamsul bagi cabang-cabang di seluruh Semenanjung dengan majoriti 119 undi.

Pertikaian belum dijawab

Namun Badrul Hisham tewas teruk di tiga cabang di Sabah dengan jumlah kehadiran pengundi yang meragukan seramai 600 orang di Cabang Batu Sapi sekaligus menjadikannya satu pertikaian besar yang belum dijawab oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat.

Beliau menggesa pemimpin PKR agar tidak menyalahkan mana-mana pihak yang melaporkan kepincangan yang berlaku, sebaliknya hendaklah menyalahkan pihak-pihak yang melakukan kepincangan tersebut.

Sementara itu, dalam satu entri yang lain dalam blog yang sama, menggesa agar Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim tidak memandang ringan dan mengambil mudah terhadap keputusan soal selidik yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) kerana ia bukanlah propaganda yang datangnya dari pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional.

Keputusan yang dijalankan oleh Pusat Demokrasi dan Pengajian Pilihan Raya UM (Umcedel) baru-baru ini, mendapati 52 peratus daripada 1,124 responden berkata konflik dalaman PKR telah menghakis keyakinan terhadap kepimpinan Anwar manakala 49 peratus pula berpendapat mereka kecewa dengan PKR.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails