Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti yang berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang.
Bacaan doa selama lebih kurang empat minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman mahupun darjat.
Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membaca doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya.
Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, Lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti, demikian menurut kenyataan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.
Puluhan ahli DAP berbangsa yang hadir di konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat.
Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana DAP sebelum ini.
No comments:
Post a Comment