Pages

Thursday, December 16, 2010

Anwar Ibrahim Tidak Serupa Bikin

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya berhenti daripada bermain 'wayang' semata-mata untuk menutup kesalahan yang beliau lakukan.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, dakwaan bahawa subjudis bagi mana-mana pihak yang membuat laporan mengenai kes liwatnya adalah 'wayang' ketua pembangkang itu bertujuan melengahkan perbicaraan kes yang sedang dihadapinya itu.

"Saya yakin Anwar akan menggunakan pendedahan WikiLeaks untuk berusaha melewatkan perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya ketika kini. Beliau juga kata subjudis kerana satu penghinaan kepada mahkamah.

"Itulah sikap Anwar yang suka bermain 'wayang'. Bila kena batang hidung sendiri, terus martabat mahkamah. Selama ini dia tak pernah pandang arahan mahkamah. Siap keliling negara dan dunia menceritakan kisah liwatnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

WikiLeaks baru-baru ini mendedahkan Agensi perisikan Singapura mengesahkan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi itu, dipercayai melalui kaedah memintas talian komunikasi negara.

Ekoran pendedahan yang dipetik melalui laporan The Sydney Morning Herald itu, Anwar telah memberi arahan kepada peguamnya, Sankara Nair untuk mengemukakan saman kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa akhbar berikutan dakwaan salah lapor berhubung pendedahan tersebut.

Mukhriz berkata, bukan sahaja Dr. Mahathir, Anwar juga sepatutnya menyaman semua pihak yang melaporkan mengenai kes liwatnya termasuk The Sydney Morning Herald, WikiLeaks dan media antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan Anwar yang kerap kali menangguhkan perbicaraan kes liwatnya merupakan perbuatan yang memperlekehkan mahkamah.

"Jadi, mengapa Anwar mahu menyaman Dr. Mahathir dan beberapa akhbar di negara ini sedangkan amat jelas beliau sendiri tidak mahu kes liwatnya dibicarakan, sepatutnya tidak timbul soal subjudis.

"Jika ada pun subjudis, maka Anwarlah orang pertama yang sepatutnya dikenakan tindakan oleh mahkamah kerana dalam setiap ceramahnya beliau membangkitkan isu tersebut dan menuduh mahkamah dengan pelbagai tuduhan," katanya.

Mengulas perkara sama, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim menasihatkan Anwar supaya tidak menjadikan isu pendedahan Wikileaks itu sebagai jalan untuk melengahkan perbicaraan kes liwatnya.
"Isu asal yang sedang dihadapi kini adalah liwat, jadi, jangan disebabkan pendedahan WikiLeaks itu, beliau (Anwar) mencari jalan untuk melengahkan kes itu. Itu bukan haknya," katanya.

Beliau berkata, terpulang kepada Anwar untuk menyaman sesiapa pun berhubung laporan yang dibuat mengenai pendedahan WikiLeaks kerana itu hak penasihat PKR tersebut.

"Tetapi, Anwar tidak boleh menggunakan undang-undang untuk lari daripada keadilan iaitu perbicaraan kes liwat yang kini sedang dihadapinya," tegasnya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails