Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pemimpin pembangkang berhenti memutar belit isu penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat apabila menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah merancang tindakan itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, dakwaan kononnya kerajaan BN mahu memperoleh majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dengan penggantungan Anwar dan tiga lagi wakil rakyat pembangkang itu sama sekali tidak benar.
"Sebenarnya kita tahu mereka sengaja nak memutarbelitkan isu. Mereka kata kita sengaja buat begitu sebab nak menguasai dua pertiga di Dewan Rakyat, ia langsung tidak betul.
"Jangan nak putar belit isu seolah-olah rakyat tidak tahu, dengan empat orang (Ahli Parlimen pembangkang) digantung selama enam bulan tidak bermakna kerusi kita di Dewan Rakyat akan bertambah, sebaliknya kekal dengan 137 kerusi," katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gempur Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) di Dewan Seri Pekembar di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, berharap rakyat tidak tertipu dengan putar belit pemimpin pembangkang yang kononnya mereka teraniaya, tiada kebebasan di Dewan Rakyat, tiada suara rakyat dan hak dinafikan.
Mengulas kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat ketika usul menggantung Anwar itu diputuskan, Muhyiddin berkata, pihak pembangkang mungkin sengaja merancang tindakan tersebut kerana mereka tahu tidak dapat mempertahankan pendirian khususnya Anwar mengenai isu APCO Worldwide (APCO).
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, usul yang dibawa di Dewan Rakyat adalah mengikut peraturan mesyuarat.
Tegasnya, pihak pembangkang tahu bahawa mereka tidak dapat mempertahankan isu tersebut kerana pihak kerajaan mempunyai asas yang kukuh sehingga menyebabkan mereka membuat kekecohan.
Menurutnya, pemimpin Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang dan Selangor juga pernah digantung daripada menghadiri persidangan, namun pemimpin dan penyokong BN tidak pernah membuat kekecohan seperti yang dilakukan pemimpin pembangkang di Dewan Rakyat.
Beliau yakin kes penggantungan beberapa ahli Parlimen pembangkang itu akan digunakan sebagai bahan kempen mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan.
"Anwar juga akan menggunakan tempoh penggantungan enam bulan yang dikenakan ke atasnya untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memutarbelitkan tindakan terhadapnya.
"Kita tahu parti komponen pakatan pembangkang berdepan kemelut politik yang carca-marba dan dalam keadaan parti mereka bersimpang siur dan tunggang langgang. Dari segi hubungan antara parti komponen, rakyat sudah tahu tipu helah mereka dan mereka hendak mencari bahan untuk kempen," katanya.
Menurut Muhyiddin, pemimpin pembangkang juga akan menjelajah ke seluruh negara kononnya sistem demokrasi di negara ini sudah 'mati' dan BN ingin menguasai majoriti serta menghalang mereka di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan tindakan beberapa wakil rakyat pembangkang menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat bukan sahaja memalukan, malah merupakan detik hitam dalam sejarah Parlimen negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan pemimpin pembangkang yang langsung tidak menghormati protokol dan konvensional Dewan Rakyat yang seharusnya menjadi puncak sistem demokrasi negara, amat dikesali.
"Bagi saya ia satu tindakan yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi juga 'unparlimentary'.
"Perkara itu memalukan sekali dengan tindakan biadab dan perkataan kasar kepada Speaker dan ada juga kenyataan kononnya mereka nak heret Speaker ke mahkamah,'' ujarnya.
Tindakan itu katanya, menunjukkan seolah-olah hanya mereka yang tahu dalam soal seperti itu.
No comments:
Post a Comment