Pages

Monday, October 11, 2010

Pornthip Gagal Pertahan Teori 80% Dibunuh


Tumpuan terhadap inkues menjadi semakin panas bilamana pakar Patologi Thailand Dr. Pornthip Rojanasunand memberikan keterangan beliau berhubung hasil post mortem kedua yang dibuat ke atas mendiang Teoh Beng Hock (TBH).
Seperti yang telah dijangkakan, kenyataan dan hasil penemuan yang dikemukakan akan bersifat kontroversi dan sama sekali bertentangan dengan hasil penemuan empat lagi Patologi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan iaitu Dr. Khairul Azman, Dr. Prashant Naresh Samberkar, Dr. Shahidan Md Noor dan pakar forensik Britain Dr. Peter Vanesis.
Berdasarkan penemuan kajian pertamanya, Dr. Pornthip telah pun mengeluarkan teori yang amat kontroversi serta mencetuskan keresahan di kalangan rakyat iaitu “Kematian TBH – 80 peratus dibunuh, 20 peratus bunuh diri”. Apa yang peliknya, dengan hanya meneliti gambar-gambar sahaja beliau boleh membuat keputusan bahawa kematian TBH adalah kerana dibunuh. Kenyataan atau teori ini menyanggah atau bertentangan sama sekali dengan hasil penemuan yang dibuat oleh tiga pakar Patologi tempatan dan seorang pakar Patologi Britain.  Ini membuatkan kehadiran beliau ke Malaysia amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia untuk mengetahui apakah beliau akan dapat mempertahankan teori 80 – 20 yang dinyatakan sebelum ini.
Kehadiran beliau di Malaysia juga turut dipolemikkan dan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga tercetus andaian bahawa keselamatan beliau akan terancam. Malaysia digambarkan sebagai sebuah negara yang huru hara, tiada undang-undang dan tidak selamat sehinggakan membahayakan nyawa seorang pakar forensik yang datang untuk memberikan kenyataan. Semuanya mengarut dan sengaja diada-adakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
Sebelum kita membahaskan kenyataan Dr. Pornthip dan hasil penemuan terbarunya dalam Post mortem kedua (yang benar-benar berasaskan mayat mendiang TBH dan bukannya gambar) maka wajar kita teliti semula apakah pandangan keempat-empat ahli Patologi yang turut terlibat secara langsung dalam post mortem terhadap mayat mendiang TBH.

Kesimpulan yang boleh dibuat berasaskan laporan keempat-empat ahli Patologi di atas adalah seperti berikut:

  • Kematian TBH disebabkan kemungkinan bunuh diri;
  • Tidak jelas tanda-tanda bahawa TBH dibunuh sebelum dicampak dari tingkap;
  • Kecederaan yang terdapat tidak menunjukkan tanda-tanda “struggle”;
  • TBH masih sedar ketika jatuh. Kecederaan patah kedua-dua tulang tangan dan kedua-dua tulang kaki juga menunjukkan yang TBH masih dalam keadaan sedar dan cuba menahan impak jatuh ;
  • Kecederaannya konsisten dengan kejatuhan dari tempat tinggi;
  • Kesan calar pada kasut TBH konsisten dengan perbuatan beliau mencangkung di tingkap sebelum terjun;
  • TBH tidak dipengaruhi oleh dadah ataupun alkohol;
Semalam dalam inkues yang berlangsung jelas menunjukkan bahawa Dr. Pornthip yang selama ini berkeras dengan teori 80 – 20 tidak dapat mempertahankan hujahnya. Kalau sebelum ini beliau berkeras menyatakan bahawa wujud tanda-tanda TBH diseksa, dipukul dan dubur ditusuk dengan objek tumpul serta dibunuh sebelum dicampak keluar tingkap. Namun hari ini, pengakuannya telah berubah namun masih lagi dianggap kontroversi.
Terdapat beberapa fakta yang tidak dapat dipertahankan oleh Pornthip berasaskan laporannya sebelum ini. Antaranya:
  • Beliau menukar pandangan dengan tidak lagi mengekalkan pendapat bahawa 80 peratus TBH mati akibat dibunuh;
  • Kecederaan TBH tidak menunjukkan bahawa beliau diseksa atau dipukul sebagaimana kenyataannya sebelum ini yang mengatakan TBH diseksa, dipukul;
  • Tiada bukti ditemui menunjukkan bahawa TBH dipukul ataupun diseksa sebagaimana kenyataannya sebelum ini;
  • Beliau turut menyangkal dakwaannya sebelum ini yang menunjukkan bahawa kecederaan pada dubur TBH akibat tusukan benda tumpul dan mengesahkan penemuan pakar-pakar lain yang ia disebabkan kesan jatuh dari tempat tinggi;
Bagi menyelamatkan maruah dirinya, Dr. Pornthip yang boleh dibaratkan sebagai Fortune Teller atau ahli nujum mengeluarkan teori baru tetapi tergantung begitu iaitu “kematian TBH bukan disebabkan bunuh diri”. Namun bila ditanya oleh pihak pembelaan adakah ia disebabkan oleh “dibunuh” Pornthip tidak dapat menjelaskannya.
Kalau bukan disebabkan bunuh diri, apa pula punca kematiannya? Sudah tentu dibunuh dan dicampakkan keluar tingkap? Bukan begitu? Namun, dalam kenyataannya beliau jelas mengatakan bahawa teori 80 peratus tidak lagi berguna, tiada langsung bukti menunjukkan TBH dipukul dan diseksa atau dibunuh dan tiada tanda-tanda kecederaan pada tubuh TBH yang berkaitan dengan insiden pukul atau diseksa.
Ini jelas menunjukkan bahawa Dr. Pornthip sebenarnya bukanlah seorang “pakar” sebagaimana yang dihebahkan oleh pihak-pihak berkepentingan. Kehadirannya hanya sebagai seorang pelakon untuk menghuru-harakan hasil penemuan empat pakar forensik yang benar-benar profesional serta bertujuan untuk polemik politik dan meraih simpati sokongan masyarakat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails