Walaupun telah memberi jaminan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan setelah dua kali ditunda pada bulan lalu, pasukan pembelaan Ketua Pembangkang itu tetap berusaha supaya perbicaraan yang sepatutnya bersambung esok ditangguhkan lagi.
Malahan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan itu sementara menunggu rayuan telah difailkan oleh pihak pembelaan pada Jumaat lalu dan ia dijangka didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah esok.
Permohonan penggantungan prosiding itu dibuat sehari selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.
Permohonan untuk menangguhkan perbicaraan dibuat melalui firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners pada 28 Julai lalu.
Sebelum ini, pasukan pembelaan membayangkan untuk menangguhkan perbicaraan dengan alasan rayuan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan sampel berkaitan daripada doktor pakar yang memeriksa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 Ogos ini.
Seorang daripada peguam bela Anwar, Sankara Nair berkata, dokumen-dokumen dan sampel tersebut diperlukan sebelum mereka menyoal balas doktor pakar Hospital Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Razali Ibrahim yang merupakan saksi pendakwa kedua dan dua lagi rakan sejawatnya.
''Tarikh ini (6 Ogos) menimbulkan masalah kepada pasukan pembelaan kerana Mahkamah Rayuan hanya boleh membuat keputusan pada tarikh tersebut, sama ada ia akan mengubah keputusan Hakim Mohamad Zabidin. Sementara tarikh bicara di hadapan hakim tersebut dijadualkan bermula pada 2 Ogos ini.
''Pihak pembelaan telah menyatakan dengan jelas bahawa tanpa kesemua dokumen dan sampel berkaitan diserahkan terlebih dahulu kepada kami, barisan doktor pakar (yang kami lantik) tidak boleh menasihati kami sewaktu pemeriksaan balas terhadap ketiga-tiga doktor terbabit,'' kata Sankara dalam e-mel yang dihantar kepada pihak media pada awal minggu ini.
Selepas prosiding pada Jun lalu, pemeriksaan balas terhadap Mohd. Razali telah dua kali tertangguh.
Kali pertama, perbicaraan pada 14 Julai lalu terpaksa ditunda berikutan sidang Dewan Rakyat yang perlu dihadiri oleh Anwar dan peguam bela utamanya, Karpal Singh telah dilanjutkan sehingga 15 Julai.
Perbicaraan sepatutnya disambung pada 19 hingga 23 Julai lepas tetapi tarikh tersebut turut dilapangkan berikutan Karpal cuti sakit selama 15 hari.
Ketika kes itu disebut di hadapan hakim pada 19 Julai lalu, seorang lagi peguam bela Anwar, Datuk Param Cumaraswamy telah memberi jaminan kepada mahkamah bahawa sekiranya Karpal masih lagi tidak dapat hadir pada tarikh perbicaraan seterusnya, peguam-peguam bela yang lain akan mengendalikan kes itu.
Kes itu dijadualkan bersambung mulai 2 hingga 30 Ogos ini.
Perbicaraan sebelum ini terhenti sebelum sempat Mohd. Razali disoal balas setelah pihak pembelaan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan beberapa dokumen termasuk sampel-sampel yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari.
Permohonan tersebut bagaimanapun telah ditolak oleh Hakim Mohamad Zabidin pada 18 Jun lalu.
Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
No comments:
Post a Comment