Tindakan calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengurus kempennya untuk pemilihan November ini, dipersoalkan oleh bekas Exco kanan parti itu.
Zamil Ibrahim yang juga bekas Setiausaha PKR Kedah melihat pelantikan penasihat parti itu ke jawatan tersebut sebagai sesuatu yang pelik.
"Ia jelas membuktikan Azmin memang mempunyai 'kunci' ke atas segala rahsia Anwar sehingga membolehkannya mempergunakan ketuanya itu bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mendakwa Anwar sedang giat berkempen untuk memastikan Azmin menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu kelak.
"Anwar akan mengecam teruk siapa sahaja yang tidak bersama dan menyokong Azmin. Siapa yang tidak berbuat demikian maka Anwar mengecam mereka sebagai pembelot dan penderhaka yang mahu mensabotaj parti.
"Ramai yang tertanya-tanya bagaimana Naib Presiden PKR itu mampu 'tarik hidung' Anwar?" katanya.
Baru-baru ini, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah mendakwa, Azmin mempunyai 'kunci' ke atas segala rahsia utama Anwar.
Beliau mendakwa, 'kunci' itulah yang menjadi senjata utama kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Zamil berkata, di dalam pakatan pembangkang yang diwakili oleh PKR, Pas dan DAP juga terdapat perbezaan dari segi calon yang disokong untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
"Anwar begitu kuat menyokong Azmin sedangkan DAP menyokong Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim sementara Pas pula memberi sokongan kepada Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub," dakwanya.
Ekoran sokongan penuh Anwar kepada Azmin, Zamil secara peribadi percaya Azmin akan menang jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu.
Dalam pada itu, Zamil yang juga bekas pengurus kempen Rahman Osman iaitu calon Presiden PKR sewaktu pemilihan lalu turut mendakwa, Anwar bukan seorang pemimpin yang demokratik.
Beliau mengimbau sewaktu pemilihan lalu, apabila Anwar menaiki pentas 10 minit sebelum Pengerusi Tetap parti pada ketika itu memanggil perwakilan memilih calon Presiden, untuk menasihatkan perwakilan supaya memilih isterinya.
"Rahman yang berasa terhina dengan tindakan Anwar itu terus menuju ke pentas berjumpa Pengerusi Tetap parti dan memberitahu beliau menarik diri lalu Wan Azizah menang tanpa bertanding," dakwanya.
No comments:
Post a Comment