Pages

Tuesday, December 21, 2010

330 pelajar cemerlang dapat bantuan, geran 1MDB

PUTRAJAYA: Seramai 330 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009, sebahagiannya dari keluarga miskin, berpendapatan sederhana dan tinggal di luar bandar, menerima bantuan kewangan dan geran akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM16 juta semalam. 

Daripada jumlah itu, 30 adalah lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 yang mendapat keputusan 5A1 yang menerima Geran Akademik 1MDB antara RM15,000 hingga RM20,000 setahun sepanjang tempoh pengajian di pusat pengajian serta mengikut kursus yang diambil.
Sebanyak 300 lepasan SPM 2009 pula menerima bantuan Kewangan 1MDB berjumlah antara RM7,500 hingga RM15,000 setahun sepanjang tempoh pengajian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyampaikan surat tawaran bantuan berkenaan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di sini, semalam. 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Pemilihan pelajar lulusan SPM itu dibuat menggunakan kaedah komprehensif merangkumi penilaian ke atas pendapatan isi rumah serta memastikan mereka terdiri daripada pelajar pelbagai kaum di seluruh negara. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, selain meritokrasi, kerajaan juga menggunakan pendekatan keadilan sosial dalam memberikan pengiktirafan dan bantuan kepada mereka yang cemerlang dalam pelajaran khususnya daripada keluarga miskin, pendapatan sederhana dan tinggal di luar bandar. 
“Saya difahamkan kumpulan ini (penerima lepasan SPM) mendapat 10A dan mereka juga terdiri dari keluarga yang miskin atau sederhana pendapatan mereka...inilah prinsip keadilan sosial iaitu kalau mereka ini pencapaiannya rendah sedikit daripada pelajar yang sangat cemerlang bukan bererti mereka kebolehannya kurang,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, sistem pendidikan di Malaysia membolehkan anak sesiapa juga boleh berjaya jika rajin belajar dan kerajaan memberi peluang seadil mungkin merentasi kumpulan etnik. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails